Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt. selawat dan salam buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad
S.A.W. juga kepada sekalian muslimin dan muslimat. Saban hari, di negara ini, semakin
banyak majlis ilmiah diadakan, seperti ceramah agama, forum perdana, majlis
taklim, majlis selawat dan sebagainya. Alhamdulillah amalan berkunjung ke
majlis ilmu ini sudah mula menjadi kelaziman dalam hidup masyarakat.
Abu Hurairah
r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesiapa
yang menempuh perjalanan dengan tujuan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan
mempermudahkan baginya jalan ke syurga.”
Riwayat Muslim
Tempat-tempat
orang menuntut ilmu ini merupakan tempat yang penuh barakah, seperti mana yang
dikatakan oleh Rasulullah SAW bahawa para malaikat akan berkumpul di mana
adanya majlis ilmu, dan mengembangkan sayap-sayap mereka. In shaa Allah, dengan
menghadiri majlis ilmu, moga Allah reda dengan perbuatan kita itu.
Dalam kesibukan
kita mengejar kehidupan dunia, mencari nafkah untuk diri sendiri dan keluarga,
jangan dilupakan kepentingan menuntut ilmu. Walaupun kadang-kadang terlintas di
benak fikiran, lebih baik kita rehat dan memulihkan tenaga untuk bekerja
mencari duit esok hari, kita harus sedar yang memberi kita kudrat, kekuatan dan
tenaga untuk bekerja itu Allah SWT. Jadi apalah kiranya jika kita luangkan masa
untuk menuntut ilmuNya, lagi-lagi ilmu ketuhanan yang membesarkan Maha Pencipta
kita. Apabila kita mendapat keredaan Allah SWT, nescaya Allah akan mencurahkan
rezekinya, dan permudahkan segala urusan kita.
Rasulullah SAW
bersabda:
“Allah SWT berfirman: ‘Hai anak
Adam, luangkanlah waktumu bagi beribadah kepadaKu. Pasti Aku penuhi dadamu
dengan kekayaan dan Aku menghindarkanmu daripada kemelaratan. Sekiranya tidak,
Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menghindarkan kamu daripada
kemelaratan.’ ”
Riwayat
al-Tirmizi dan Ibnu Majah
Dalam konteks
kehidupan sebagai pelajar, sememangnya pekerjaan harian kita belajar, dan
kebanyakan pelajaran itu merupakan ilmu dunia. Walaupun belajar itu sudah
dikira sebagai ibadah, usahlah berhenti takat itu, kita perlu seimbangkan
dengan ilmu akhirat. Rajin-rajinkanlah diri untuk menghadiri kelas agama atau
majlis-majlis yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
‘Sibuk ulang
kaji pelajaran untuk final exam’
Jangan jadikan itu sebagai alasan, setiap manusia diberi 24 jam sehari,
manfaatkan dengan sebaiknya, in shaa Allah cukup untuk mencari bekalan dunia
dan akhirat. Dr. Hj. Mohd Ismail bin Mustari, timbalan pengarah Pusat Islam UTM,
pernah berpesan kepada saya, ketika saya resah memikirkan masalah “tak cukup
masa”. Beliau berkata jika kita menjaga hubungan kita dengan Allah, tidak
berkira dengan Allah untuk luangkan masa untukNya, hadiri majlis-majlis agama
dan sebagainya, in shaa Allah ada keberkatan masa di situ. Allah tidak beri
kita tambahan masa daripada 24 jam kepada 30 jam, tapi Allah beri kita mudah
faham apa yang kita pelajari. Belajar kejap tapi masuk kepala terus. Kan best macam tu..
Ayuh kita berdoa dan tanamkan niat moga kaki-kaki ini
rajin ke majlis agama, telinga-telinga ini rajin mendengar
ceramah,qasidah,tazkirah dsb, tangan-tangan ini rajin mencatit ilmu-ilmu
bermanfaat dan mulut-mulut ini rajin menyebarkan ilmu yang menberi faedah
kepada diri sendiri dan juga orang lain. Sekian
sahaja daripada saya, mohon maaf jika ada kesilapan di dalam penulisan saya
ini. Mohon ditegur untuk pembaikan di masa akan datang. Sekian assalamualaikum
w.b.t.
| bergotong-royong menyediakan juadah berbuka |
| makan dalam dulang berjemaah merupakan sunnah Rasulullah SAW |
p/s: beberapa gambar ketika majlis iftar dan qasidah di Kolej 10 UTM Skudai. Credit to Asrul Affendi (photographer)

No comments:
Post a Comment