Showing posts with label final exam. Show all posts
Showing posts with label final exam. Show all posts

Thursday, May 30, 2013

Menuntut Ilmu Satu Ibadah


Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt. selawat dan salam buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. juga kepada sekalian muslimin dan muslimat. Saban hari, di negara ini, semakin banyak majlis ilmiah diadakan, seperti ceramah agama, forum perdana, majlis taklim, majlis selawat dan sebagainya. Alhamdulillah amalan berkunjung ke majlis ilmu ini sudah mula menjadi kelaziman dalam hidup masyarakat.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesiapa yang menempuh perjalanan dengan tujuan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.”
                                                                                                                        Riwayat Muslim

Tempat-tempat orang menuntut ilmu ini merupakan tempat yang penuh barakah, seperti mana yang dikatakan oleh Rasulullah SAW bahawa para malaikat akan berkumpul di mana adanya majlis ilmu, dan mengembangkan sayap-sayap mereka. In shaa Allah, dengan menghadiri majlis ilmu, moga Allah reda dengan perbuatan kita itu.

Dalam kesibukan kita mengejar kehidupan dunia, mencari nafkah untuk diri sendiri dan keluarga, jangan dilupakan kepentingan menuntut ilmu. Walaupun kadang-kadang terlintas di benak fikiran, lebih baik kita rehat dan memulihkan tenaga untuk bekerja mencari duit esok hari, kita harus sedar yang memberi kita kudrat, kekuatan dan tenaga untuk bekerja itu Allah SWT. Jadi apalah kiranya jika kita luangkan masa untuk menuntut ilmuNya, lagi-lagi ilmu ketuhanan yang membesarkan Maha Pencipta kita. Apabila kita mendapat keredaan Allah SWT, nescaya Allah akan mencurahkan rezekinya, dan permudahkan segala urusan kita.

Rasulullah SAW bersabda:
            “Allah SWT berfirman: ‘Hai anak Adam, luangkanlah waktumu bagi beribadah kepadaKu. Pasti Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku menghindarkanmu daripada kemelaratan. Sekiranya tidak, Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menghindarkan kamu daripada kemelaratan.’ ”
                                                                                                Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah

Dalam konteks kehidupan sebagai pelajar, sememangnya pekerjaan harian kita belajar, dan kebanyakan pelajaran itu merupakan ilmu dunia. Walaupun belajar itu sudah dikira sebagai ibadah, usahlah berhenti takat itu, kita perlu seimbangkan dengan ilmu akhirat. Rajin-rajinkanlah diri untuk menghadiri kelas agama atau majlis-majlis yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

‘Sibuk ulang kaji pelajaran untuk final exam Jangan jadikan itu sebagai alasan, setiap manusia diberi 24 jam sehari, manfaatkan dengan sebaiknya, in shaa Allah cukup untuk mencari bekalan dunia dan akhirat. Dr. Hj. Mohd Ismail bin Mustari, timbalan pengarah Pusat Islam UTM, pernah berpesan kepada saya, ketika saya resah memikirkan masalah “tak cukup masa”. Beliau berkata jika kita menjaga hubungan kita dengan Allah, tidak berkira dengan Allah untuk luangkan masa untukNya, hadiri majlis-majlis agama dan sebagainya, in shaa Allah ada keberkatan masa di situ. Allah tidak beri kita tambahan masa daripada 24 jam kepada 30 jam, tapi Allah beri kita mudah faham apa yang kita pelajari. Belajar kejap tapi masuk kepala terus. Kan best macam tu..


Ayuh kita berdoa dan tanamkan niat moga kaki-kaki ini rajin ke majlis agama, telinga-telinga ini rajin mendengar ceramah,qasidah,tazkirah dsb, tangan-tangan ini rajin mencatit ilmu-ilmu bermanfaat dan mulut-mulut ini rajin menyebarkan ilmu yang menberi faedah kepada diri sendiri dan juga orang lain. Sekian sahaja daripada saya, mohon maaf jika ada kesilapan di dalam penulisan saya ini. Mohon ditegur untuk pembaikan di masa akan datang. Sekian assalamualaikum w.b.t.
  
bergotong-royong menyediakan juadah berbuka 
makan dalam dulang berjemaah merupakan sunnah Rasulullah SAW
p/s: beberapa gambar ketika majlis iftar dan qasidah di Kolej 10 UTM Skudai. Credit to Asrul Affendi (photographer)