Thursday, July 4, 2013

Moga Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam

Bismillahirrahmanirrahim. Selawat serta salam buat nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Assalamualaikum w.b.t.

Proses perubahan diri daripada kurang baik menjadi lebih baik memerlukan banyak pengorbanan. Banyak dugaan dan cabaran yang akan dihadapi dalam proses perubahan itu. Pada ketika datangnya cabaran ataupun ujian inilah, ada yang dapat bertahan dan istiqomah dalam usaha merubah diri kepada lebih baik, namun ada juga yang tersungkur di tengah jalan.
           
Dalam usaha seseorang untuk berubah, seseorang ingin haruslah mempunyai keinginan dan keazaman yang tinggi. Tanpa kedua perkara ini, nescaya perubahan tidak dapat dilakukan. Kerana perubahan tidak boleh dicapai dengan hanya mengatakan “Saya ingin berubah”. Ya, memang setiap amalan itu bermula dengan niatnya. Namun, niat yang baik itu haruslah dizahirkan bukan semata-mata dalam perkataan dan angan. Justeru kehendak dari hati bila dizahirkan dengan perbuatan yang mengikut syariat, in shaa Allah, Allah akan permudahkan jalan kepada kebaikan. Amin..

Oleh sebab itu, ketika di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, beliau tidak terus mengubah banyak amalan-amalan dalam kerajaan kepada Islam secara total. Apabila ditanya oleh anaknya, Abdul Malik tentang hal ini, Umar bin Abdul Aziz menjawab, “Wahai anakku, sesungguhnya Allah melarang arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali, dan diharamkan pada kali ketiga. Aku bombing jika aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara sekaligus, lalu mereka menolaknya secara sekaligus.”
Umar bin Abdul Aziz tetap mahu mengubah, tetapi mengenangkan majoriti rakyatnya belum lagi bekehendak kerana masih tidak memahaminya lagi, maka Umar bin Abdul Aziz tidak melaksanakan kebenaran secara terus, sebaliknya mengambil sikap membina kehendak rakyat terlebih dahulu.
Jelas, pelbagai cara boleh diimplikasi untuk menjayakan proses perubahan manusia. Salah satunya ialah seperti yang dilakukan oleh Umar bin Abdul Aziz.

Allah telah berfirman dalam Al-Quran, dalam surah Ar-Ra’d :
            “Baginya(manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, hinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum,maka taka da yang dapat menolaknya, dan tidak ada pelindung begi mereka selain Dia.” (13:11)

Kerap juga didengari alasan-alasan seperti, “dia bolehlah jadi baik, memang lahir dalam keluarga alim”, “ayahnya ustaz, bolehlah”, “tunggulah aku dapat hidayah nnti”, dan bermacam-macam lagi alasan pelepas diri yang dibuat.


Iman tidak dapat diwarisi,
dari seorang ayah yang bertaqwa,
ia tak dapat dijual beli,
ia tiada di tepian pantai,
walau apa pun caranya jua,
engkau mendaki gunung yang tinggi,
engkau merentas lautan api,
namun tak dapat jua dimiliki,
jika tidak kembali pada Allah,
jika tidak kembali pada Allah.


Lirik yang dipetik daripada nasyid nyanyian kumpulan Raihan itu juga menerangkan bahawa iman bukanlah perkara yang diwarisi turun-temurun. Jadi tiada alasan yang boleh dijadikan penghalang untuk berubah kearah kebaikan. Untuk pengajaran bersama mari kita tonton sebuah filem pendek yang diarahkan oleh Matlutfi, yang mengisahkan seorang lelaki yang berharap untuk berubah menjadi baik. Sama-sama kita ambil pengajaran yang cuba disampaikan. In shaa Allah.


Moga-moga dengan sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk pembaca dan penulis sendiri. Mohon maaf jika ada kesalahan atau kekurangan. Komen membina sangatlah dihargai untuk penambahbaikan di masa depan. In shaa Allah. Sekian.
Assalamualaikum w.b.t.

p/s : Kredit kepada Neollene Ain dan Matlutfi, tuan empunya video di atas. (http://neollene.com/blog/ , http://www.youtube.com/user/matluthfi90 )

1 comment: