Thursday, May 30, 2013

Menuntut Ilmu Satu Ibadah


Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt. selawat dan salam buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. juga kepada sekalian muslimin dan muslimat. Saban hari, di negara ini, semakin banyak majlis ilmiah diadakan, seperti ceramah agama, forum perdana, majlis taklim, majlis selawat dan sebagainya. Alhamdulillah amalan berkunjung ke majlis ilmu ini sudah mula menjadi kelaziman dalam hidup masyarakat.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesiapa yang menempuh perjalanan dengan tujuan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.”
                                                                                                                        Riwayat Muslim

Tempat-tempat orang menuntut ilmu ini merupakan tempat yang penuh barakah, seperti mana yang dikatakan oleh Rasulullah SAW bahawa para malaikat akan berkumpul di mana adanya majlis ilmu, dan mengembangkan sayap-sayap mereka. In shaa Allah, dengan menghadiri majlis ilmu, moga Allah reda dengan perbuatan kita itu.

Dalam kesibukan kita mengejar kehidupan dunia, mencari nafkah untuk diri sendiri dan keluarga, jangan dilupakan kepentingan menuntut ilmu. Walaupun kadang-kadang terlintas di benak fikiran, lebih baik kita rehat dan memulihkan tenaga untuk bekerja mencari duit esok hari, kita harus sedar yang memberi kita kudrat, kekuatan dan tenaga untuk bekerja itu Allah SWT. Jadi apalah kiranya jika kita luangkan masa untuk menuntut ilmuNya, lagi-lagi ilmu ketuhanan yang membesarkan Maha Pencipta kita. Apabila kita mendapat keredaan Allah SWT, nescaya Allah akan mencurahkan rezekinya, dan permudahkan segala urusan kita.

Rasulullah SAW bersabda:
            “Allah SWT berfirman: ‘Hai anak Adam, luangkanlah waktumu bagi beribadah kepadaKu. Pasti Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku menghindarkanmu daripada kemelaratan. Sekiranya tidak, Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menghindarkan kamu daripada kemelaratan.’ ”
                                                                                                Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah

Dalam konteks kehidupan sebagai pelajar, sememangnya pekerjaan harian kita belajar, dan kebanyakan pelajaran itu merupakan ilmu dunia. Walaupun belajar itu sudah dikira sebagai ibadah, usahlah berhenti takat itu, kita perlu seimbangkan dengan ilmu akhirat. Rajin-rajinkanlah diri untuk menghadiri kelas agama atau majlis-majlis yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

‘Sibuk ulang kaji pelajaran untuk final exam Jangan jadikan itu sebagai alasan, setiap manusia diberi 24 jam sehari, manfaatkan dengan sebaiknya, in shaa Allah cukup untuk mencari bekalan dunia dan akhirat. Dr. Hj. Mohd Ismail bin Mustari, timbalan pengarah Pusat Islam UTM, pernah berpesan kepada saya, ketika saya resah memikirkan masalah “tak cukup masa”. Beliau berkata jika kita menjaga hubungan kita dengan Allah, tidak berkira dengan Allah untuk luangkan masa untukNya, hadiri majlis-majlis agama dan sebagainya, in shaa Allah ada keberkatan masa di situ. Allah tidak beri kita tambahan masa daripada 24 jam kepada 30 jam, tapi Allah beri kita mudah faham apa yang kita pelajari. Belajar kejap tapi masuk kepala terus. Kan best macam tu..


Ayuh kita berdoa dan tanamkan niat moga kaki-kaki ini rajin ke majlis agama, telinga-telinga ini rajin mendengar ceramah,qasidah,tazkirah dsb, tangan-tangan ini rajin mencatit ilmu-ilmu bermanfaat dan mulut-mulut ini rajin menyebarkan ilmu yang menberi faedah kepada diri sendiri dan juga orang lain. Sekian sahaja daripada saya, mohon maaf jika ada kesilapan di dalam penulisan saya ini. Mohon ditegur untuk pembaikan di masa akan datang. Sekian assalamualaikum w.b.t.
  
bergotong-royong menyediakan juadah berbuka 
makan dalam dulang berjemaah merupakan sunnah Rasulullah SAW
p/s: beberapa gambar ketika majlis iftar dan qasidah di Kolej 10 UTM Skudai. Credit to Asrul Affendi (photographer)

Wednesday, May 29, 2013

Tangisan Air Mata Yang Selayaknya



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, dengan taufiq dan ilham yang diberikan, dapat saya memulakan satu lagi aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada diri saya dan juga pembaca, In shaa Allah. Sebelum saya menulis lebih jauh, saya ingin memohon maaf jika ada kekurangan dalam penulisan ini dan mohon ditegur jika ada salah silap.

Abu Hurairah R.A. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :
            “Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari di mana tiada lindungan melainkan daripadaNya. Pemimpin yang adil, pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah SWT, seseorang yang hatinya terpaut pada masjid, dua orang lelaki yang berkasih saying, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT, lelaki yang digoda oleh perempuan cantik untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan ‘aku takut akan Allah’, seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya, dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT
                                                                                                                        Riwayat Muslim

Jika kita lihat golongan yang ketujuh(highlighted) iaitu seseorang yang mengingati Allah sehingga mengalir air matanya kerana Allah SWT. Jadi saya suka untuk menjadikan hal ini sebagai tajuk penulisan saya kali ini iaitu kewajaran kita untuk mengalirkan air mata pada tempat yang betul.

Setiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat kelak kecuali 2 mata iaitu, pertama, mata yang ketika di dunia dihiasi dengan menangis kerana takut kepada Allah. Yang kedua, mata yang pada waktu malam liar berjaga kerana Allah.


Suka saya berikan beberapa contoh untuk kita sama-sama jadikan iktibar. Pertamanya, ketika peristiwa kewafatan Nabi Muhammad SAW, di Kota Madinah al-Munwwarah. Pada hari itu, Baginda mengumumkan yang baginda sakit dan akan kembali ke rahmatullah. Selepas diucapkan sebegitu oleh baginda, sekalian para sahabat yang hadir menangis kerana menyedari mereka akan kehilangan insan yang sangat mereka cintai dan hormati. Insan bernama Muhammad yang telah membawa cahaya dalam hidup mereka setelah sekian lama hidup dalam kejahilan.

Selain itu, ketika di zaman Saidina Abu Bakar As-Siddiq, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Bilal bin Rabah tidak mahu melaungkan azan apabila disuruh Abu Bakar. Dia menyatakan yang dia hanya mahu azan ketika mana adanya keberadaan baginda Nabi Muhammad SAW. Kemudian datang Hassan dan Hussin, cucu baginda meminta Bilal untuk melaungkan azan. Oleh kerana terlalu saying dan cintanya kepada Rasulullah, Bilal tidak sampai hati menolak permintaan cucu Rasulullah itu. Di fikiran Bilal jika dia menolak permintaan cucu-cucu baginda, samalah seperti dia menolak permintaan Rasulullah SAW. Maka selepas 2 tahun, itulah kali pertama Bilal melaungkan azan di kota Madinah. Setelah sekian lama penduduk-penduduk Madinah tidak mendengar azan yang dilaungkan oleh Bilal bin Rabah, penduduk Madinah keseluruhannya sebak dan menangis mendengar azan yang hanya biasa didengari oleh mereka sewaktu zaman Rasulullah SAW masih hidup. Masing-masing rindukan insan yang mulia, Nabi Muhammad SAW dan teringat segala kenangan-kenangan bersama Baginda. Maka mengalir air mata mereka pada ketika itu.

Maka di sini jelas bahawa kita perlu gunakan air mata pada tempat yg layak untuk dititiskan air mata. Di zaman Rasulullah, baginda minta seorg sahabat menginfakkan sesuatu untuk jihad yang Rasulullah buat ketika itu, dia kata tiada apa yg aku boleh beri, semua yg aku miliki sekadar cukup utk dia dan keluarga. Balik je baginda daripada rumahnya, dia menangis kerana terlepas peluang utk bantu jihad Nabi. Lihat bagaimana para sahabat betapa bersungguh mahu untuk menyumbang sesuatu di jalan Allah. Air mata yang mengalir kerana terlepas peluang untuk melakukan kebaikan ini sangat besar nilainya di sisi Allah SWT.

Sesuatu ketika di mana selpas Rasulullah SAW siap mengerjakan solat berjemaah di masjid, Rasulullah SAW melihat satu orang berguling-guling menangis di bawah pokok. Baginda bertanya, ‘mengapa kamu menangis seperti ini’. Orang itu menjawab ‘unta saya hilang ketika dia bersolat jemaah sebentar tadi’. Baginda berkata ‘saya ingat awak menangis kerana tertinggal takbiratul ihram bersama-sama imam’. Orang itu bertanya ‘Ya Rasulullah , adakah takbiratul ihram itu lebih baik daripada unta saya’. Baginda kemudian menjawab ‘Ia lebih baik daripada dunia ini yang dipenuhi dengan unta’.
Kita harus mengambil pengajaran daripada kata Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa kita harus meletakkan air mata kita ini kepada tempat yang layak dialirkan air mata.

Isi-isi penting yang ingin saya highlight-kan di sini ialah keutamaan menangis kerana takut dan rindu kepada Allah SWT yang membawa besar pengertiannya. Ini hanya sebahagian pencerahan yang dapat saya kongsikan. Moga-moga ini dapat memberi manfaat kita bersama. In shaa Allah.
Sekian sahaja daripada saya untuk kali ini, saya mohon maaf jika ada kesilapan di dalam penulisan saya ini. Mohon ditegur untuk pembaikan di masa akan datang. Sekian assalamualaikum w.b.t.

Mukadimah


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum pembuka bicara, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, tergerak hati untuk saya buka semula page ni, setelah sekian lama ditinggalkan. Saya baru saja delete post-post lama ketika mana saya belum sedar kesalahan-kesalahan yang saya telah lakukan saban hari. Biarlah saya mulakan semula penulisan di sini daripada kosong. Kalau tak banyak, sedikit pon jadilah, asalkan, apa yang saya sampaikan di sini berguna dan bermanfaat. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. "..sampaikanlah daripadaku, walaupun sepotong ayat.." Moga Allah reda. Dan moga saya dapat luang kan masa untuk menulis di sini. Amin Allahumma amin..